Pak Uda Beriani Gam - PakUdaBerianiGam.com PakUdaBerianiGam.com
PakUdaBerianiGam.com PakUdaBerianiGam.com
PAK UDA BERIANI GAM
BIODATA PENGASAS - PAK UDA

Haji Othman bin Yaacub atau lebih terkenal dengan gelaran Pak Uda bukanlah individu asing bagi masyarakat yang tinggal di Kampung Parit Tengah, Parit Jawa dalam Daerah Muar, Johor.

Beliau merupakan Ketua Pakatan Kampung Parit Tengah Laut. Dilahirkan pada tahun 1924 kira-kira lapan puluh lima tahun yang lampau di sebuah kampung di Parit Bulat kira-kira lima kilometer dari tempat tinggalnya sekarang.

PakUdaBerianiGam.com : Pak Uda Beriani Gam Johor - Masakan Keraaian Warisan Negeri Johor - Nikmati Keaslian Warisannya
BIODATA PAK UDA - PENGASAS PAK UDA NASI BERIANI GAM

Allahyarham Haji Othman bin Yaacub atau lebih terkenal dengan gelaran Pak Uda bukanlah individu asing bagi masyarakat yang tinggal di Kampung Parit Tengah, Parit Jawa dalam Daerah Muar, Johor. Semasa hayatnya, beliau merupakan Ketua Pakatan Kampung Parit Tengah Laut. Dilahirkan pada tahun 1924 kira-kira lapan puluh sembilan tahun yang lampau di sebuah kampung di Parit Bulat dan menghembuskan nafas terakhirnya di Klang, Selangor pada pagi 03 May 2013 yang lalu.

Menurut kisahnya, sejak usia dua belas tahun Pak Uda sudah menjadi anak yatim kerana kehilangan ibu yang tercinta. Dengan adik beradik seramai tujuh orang yang kini tinggal dua orang sahaja, Pak Uda menjalani kehidupan dalam keadaan serba kekurangan. Pak Uda juga mempunyai adik beradik berlainan ibu seramai tujuh orang.

Ketika usia 17 tahun, Pak Uda telah berkahwin dengan Hajah Saadiah binti Kassim yang lebih dikenali dengan gelaran Busu. Perkahwinan di jalankan dengan serba kekurangan kerana pada ketika itu Jepun telah menguasai tanah Melayu. Ramai daripada anak-anak muda Melayu yang berkahwin awal untuk mengelak daripada di hantar ke Burma untuk menjadi buruh paksa menyiapkan jambatan keretapi maut. Kenduri kahwin hanya makan bubur sahaja, tetapi perkahwinan Pak Uda dan Hajah Saadiah berkekalan hingga ke akhir hayat. Selepas berkahwin, Pak Uda bekerja membuat gula kelapa. Sekati gula kelapa yang dihasilkan dijual pada harga 25 sen. Pada ketika itu, duit satu sen sangat berharga kerana dengan satu sen dapat beli empat jenis barang dapur iaitu lada kering, bawang merah, bawang putih dan bawang besar. Beras segantang boleh dibeli dengan harga 6 sen dan gula 5 sen sahaja.

Bagi meneruskan kehidupannya lagi, Pak Uda membawa isterinya untuk menetap di ladang estet Bang Heng di Pagoh sehinggalah zaman komunis menguasai tanah Melayu. Pada masa itu, Pak Uda mengambil upah menoreh getah dengan pendapatan RM2 hingga RM4 sehari. Pak Uda terpaksa pulang semula ke kampung di Parit Tengah atas desakan bapa mertuanya kerana tidak sanggup berjauhan dengan anak cucunya.

Hidup di zaman sebelum merdeka dan selepas merdeka menyimpan banyak kenangan buat Pak Uda. Beliau telah dikurniakan 7 orang anak. Seorang anak lelaki telah meninggal ketika usia 6 bulan. Anak-anak yang ada terdiri daripada 4 orang lelaki dan 2 perempuan. Anak-anak lelakinya terdiri daripada Hj. Ahmad, Hj. Alias, Ibrahim dan Md Noh manakala anak perempuannya iaitu Hjh. Norisa dan Noraini. Selain itu Pak Uda turut memelihara seorang kakak ipar bernama Biah serta 2 orang anak saudara yang telah menjadi yatim sejak kecil iaitu Fatimah (Anis) dan Hjh. Rokiah (Kiah). Kesemua anak-anak Pak Uda berjaya dalam kehidupan.

Mengimbau semula kisah kehidupan Pak Uda di zaman silam banyak pekerjaan yang telah dilakukannya untuk menyara keluarga yang seramai 14 orang. Pak Uda menjadi ketua keluarga apabila bapa mertuanya Kassim bin Kersah meninggal dunia. Bangun seawal pukul 3 pagi kemudian pergi menoreh getah. Pulang ke rumah untuk sembahyang subuh. Rutin harian diteruskan lagi dengan menyabit kelapa di kebun-kebun milik beberapa orang pemilik kebun berketurunan Cina di Parit Jamil, Parit Tengah, Parit Jawa dan Simpang Pulai. Pak Uda menyabit kelapa hingga pukul 2 petang boleh dikatakan setiap hari. Upah menyabit kelapa pada ketika itu ialah 1000 biji / RM15. Pak Uda boleh mengait kelapa sehingga 2000 biji sehari. Ada yang menggelar Pak Uda, Seman Sabit. Pak Uda menyabit kelapa sehingga tahun 1989. Dalam 42 tahun bermula tahun 1947, Pak Uda mengambil upah mengait kelapa. Selama itu juga Pak Uda turut mengambil upah memasak kenduri kahwin bersama Hj. Senan.

Pada tahun 2004, Hajah Saadiah pergi meninggalkan Pak Uda buat selama-lamanya kerana diserang sakit strok. Satu tamparan hebat buat Pak Uda kerana beliau terlampau menyayangi isterinya yang telah berkongsi keperitan hidup dan kesenangan. Ketika itu Pak Uda terus tinggal di kampung bersama cucu yang dibela sejak dari kecil iaitu Norazlin Mokhtar aka Pak Atan iaitu anak sulung kepada Norisa, iaitu anak pertama Pak Uda.

Kehidupan Pak Uda mulai senang apabila seorang pemilik kebun bernama Hj. Mansor memajakkan kebun kelapa di Parit Jamil kira-kira 18 ekar kesemuanya. Pendapatan Pak Uda sebulan RM4000 sekitar tahun 1980-an. Dapatlah Pak Uda menyimpan duit dan dengan hasil simpanannya ini, Pak Uda bersama isteri dapat mengerjakan haji di Baitullah buat kali pertama pada tahun 1986. Rezeki Allah terus melimpahi Pak Uda apabila membantu anak keduanya Hj. Ahmad meniaga balak. Lagi sekali Pak Uda mengerjakan haji bersama isterinya. Pada ketika perbelanjaan mengerjakan haji untuk 2 orang RM14,000. Pak Uda bersama anaknya Hj. Ahmad suami isteri dan kakak iparnya Biah, pergi bersama-sama mengerjakan haji. Ketika itu Pak Uda menginap di Aziz Khogeer Hotel, Mekah. Ini kenangan yang tidak dilupakan kerana walaupun kali kedua pergi Mekah, tetapi ini kali pertama mengerjakan haji bersama anaknya Hj. Ahmad yang banyak membantu mengubah kehidupannya.

Walaupun Pak Uda dilimpahi rezeki melimpah namun Pak Uda tidak pernah lupa kesusahannya yang lampau. Pak Uda sentiasa menyumbang tenaga untuk membantu masyarakat kampung dengan mewujudkan pakatan yang lengkap. Hasil sumbangan anaknya Hj. Ahmad, pakatan Kg Parit Tengah Laut mempunyai peralatan kenduri kahwin yang cukup. Sehinggalah hari ini, peralatan pinggan mangkuk dan periuk masih digunakan untuk majlis kenduri kendara di kalangan masyarakat kampung. Sebagai Ketua Tukang Masak, Pak Uda tidak pernah mengenakan sebarang bayaran, hanya tolong sahaja. Bagaimanapun, masyarakat tetap memberi sedikit sagu hati atas sumbangan Pak Uda.

Rezeki Pak Uda tidak putus-putus. Anak-anak yang berjaya tidak pernah melupakan Pak Uda. Sudah menjadi lumrah setiap mendapat rezeki yang banyak, Pak Uda akan ke Mekah menunaikan ibadah. Empat kali Pak Uda dapat berkunjung ke rumah Allah. Kalau diikutkan kesusahan yang dialami masa muda adalah mustahil baginya untuk ke Mekah, tetapi Allah berkuasa ke atas setiap makhluknya.

Sepanjang hayatnya, Pak Uda dikurniakan kesihatan yang baik. Pernah Pak Uda diserang strok. Tetapi apabila Pak Uda berhenti daripada menghisap rokok, penyakitnya semakin pulih.

Kini, Allahyarham Pak Uda memiliki 24 cucu dan 16 cicit. Pak Uda menekankan pendidikan agama dalam mengasuh anak-anak. Sikap Pak Uda yang sederhana amat disenangi oleh anak-anak dan cucu. Pak Uda adalah seorang yang sangat pemurah. Banyak jasa telah ditabur kepada masyarakat kampung. Anak-anak Pak Uda sentiasa meluangkan masa kepada Pak Uda sejak peninggalan isterinya.

Menyentuh tentang kerjayanya sebagai tukang masak Nasi Beriani, Pak Uda telah memulakan dengan menjadi pembantu tukang masak kepada Haji Senan. Haji Senan merupakan tukang masak nasi beriani yang terkenal sekitar tahun 1940-an. Atas minat yang mendalam terhadap dunia masakan, Pak Uda berusaha untuk mempelajari masakan Nasi Beriani bersama rakan-rakannya. Dua orang rakannya sudah pun kembali ke rahmatullah.

Segala pengalaman memasaknya selama 65 tahun telah diturunkan kepada cucunya Atan atau Norazlin Mokhtar. Seorang anak Pak Uda yang menunjukkan minat dalam masakan Nasi Beriani ialah Hj. Alias atau dikenali dengan Uda yang kini menetap di Meru Klang, tetapi anaknya ini tidak menjadikan masakan Nasi Beriani sebagai punca pendapatan utama. Berbeza dengan cucunya Norazlin Mokhtar. Norazlin yang berusaha untuk mempopularkan masakan Beriani Pak Uda menerusi laman web PakUdaBerianiGam.com.

Pada usia emasnya, Pak Uda masih mampu mengendalikan masakan majlis kenduri kahwin dengan bantuan cucunya. Bukan sesuatu yang mudah mengendalikan masakan kenduri kahwin dan majlis keraian tetapi bak kata pepatah Melayu "Alah bisa tegal biasa; Jangan berumah ditepi pantai kalau takut badai melanda". Demi meneruskan kehidupan, inilah sebahagian daripada mata pencarian Pak Uda sejak dari muda.

Sekitar tahun 1940-an masakan Nasi Beriani mulai popular di negeri Johor terutama di sekitar daerah Muar dan Batu Pahat. Buat kali pertama Pak Uda diberi kepercayaan oleh gurunya Haji Senan untuk mengendalikan satu majlis kenduri kahwin di rumah seorang guru. Pak Uda berjaya membuktikan dia mampu mengendalikan majlis tersebut. Pak Uda menerima upah sebanyak RM50 pada ketika itu. Beliau sangat gembira menerima upah tersebut. Nilainya sangat tinggi bukan sahaja dapat membeli pelbagai keperluan anak-anak pada masa itu, tetapi dengan upah itulah Pak Uda semakin yakin dan berani untuk memasak Nasi Beriani di majlis kenduri. Dunia masakan Nasi Beriani sudah semakin sebati dengan Pak Uda. Pak Uda menjadi ketua pakatan Kg Parit Tengah Laut. Sebarang masakan majlis kenduri diketuai oleh Pak Uda. Anak-anak, cucu dan isteri menjadi tulang belakang dalam usaha Pak Uda menyumbang tenaga dalam sebarang majlis kenduri yang dikendalikannya. Isteri tercinta, Allahyarhamah Saadiah binti Kassim pun tidak menang tangan membantu Pak Uda mengendalikan majlis kenduri. Mulut Hajah Saadiah yang riuh terus menjadi ingatan sebahagian masyarakat Kg Parit Tengah hingga hari ini.

Masakan Nasi Beriani Pak Uda mendapat tempahan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Melaka dan negeri Johor sendiri. Pak Uda terus mengorak langkah. Hasil usaha gigih cucunya Norazlin serta berkat doa keluarga dan masyarakat kampung maka pada tahun 2008, Syarikat Pak Uda Beriani Gam (PUBG) ditubuhkan. Jenama Pak Uda mula dikomersialkan. PUBG satu-satunya syarikat yang bertanggungjawab mempopularkan masakan Beriani. Laman web PakUdaBerianiGam.com menjadi platform mengetengahkan masakan Beriani agar sama popular dengan pengusaha-pengusaha Nasi Beriani yang lain. Bukan sahaja menceburkan diri dalam perniagaan katering, tetapi turut mengendalikan Bengkel masakan Nasi Beriani untuk majlis keraian dan kenduri kahwin.

Menyentuh tentang keenakan masakan Pak Uda, ramai tokoh-tokoh negara yang pernah menikmati masakan Pak Uda termasuklah Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman serta beberapa orang exco Negeri Johor serta Datuk Ahmad Shah, tokoh politik daerah Muar.

Sehingga ke akhir hayatnya pada usia 89 tahun, Pak Uda mampu tersenyum lebar atas kejayaannya sebagai tukang masak. Apa yang paling penting ialah keaslian masakan Nasi Beriani dan keenakan rempah yang digunakan. Sehingga kini, pihak PUBG menggunakan kayu api dalam proses memasak nasi dan juga lauk. Kebersihan menjadi asas utama penyediaan makanan. Penggunaan rempah yang berkualiti tinggi menjadi pilihan. Atas kesedaran itulah, selain menceburkan diri dalam perniagaan katering dan bengkel, PUBG turut membuat pembungkusan Rempah Beriani atas jenama PUBG. Kini sesiapa sahaja boleh mendapatkan rempah Beriani asli dengan menempah terus daripada pihak PUBG atau mengakses ke laman web PakUdaBerianiGam.com untuk menghubungi pihak pengurusan.

Klik sini untuk melihat carta Famili Tree Pak Uda.

Wassalam.

MASAKAN KERAIAN WARISAN NEGERI JOHOR

NIKMATI KEASLIAN WARISANNYA

  Pak Uda Beriani Gam - PakUdaBerianiGam.com

calendar
BENGKEL & AKTIVITI
BENGKEL MEMASAK UNTUK MAJLIS KENDURI BERSAMA PAK UDA - DAFTAR SEKARANG!
Akan datang

Ucapan Terima Kasih
klik disini untuk
Bengkel 13HB FEB 2010 lalu
PHOTO GALERI
Untitled Document

APA KATA MEREKA...
PakUdaBerianiGam.com : Pak Uda Beriani Gam Johor - Masakan Keraaian Warisan Negeri Johor - Nikmati Keaslian Warisannya

Perghh bukan nak puji lebih-lebih tapi sebagai penggemar beriani korang patut cuba Pak Uda Beriani Gam. Memang terangkat! Betul-betul asli..
Daripada Mat Shah, Shah Alam

Beriani Gam Pak Uda memang dahsyat.
Rugi tak cuba.
Nasa, Kg Baru

Cara masak yang betul-betul ikut cara lama ni lah.
Rasa aku rahsia kesedapan Beriani Gam Pak Uda.
Tak rugi ikut bengkel Pak Uda.
Azlan, Pasir Gudang

Anda pernah menjamu selera hidangan Pak Uda Beriani Gam, Muar Johor. Apa kata anda kongsi komen anda bersama kami. Emailkan ke info@pakudaberianigam.com

PakUdaBerianiGam.com : Pak Uda Beriani Gam Johor - Masakan Keraaian Warisan Negeri Johor - Nikmati Keaslian Warisannya
Laman Web dibangunkan oleh Dumei Dot Com
Hak Milik Terpelihara Pak Uda Beriani Gam PUBG Catering 2010
Anda adalah Pengunjung yang ke invisible counters sejak Jan 2010
Direktori Usahawan Edisi Internet